Salam alikum
Bismillah wa Sollallahu al Muhammad wa aali Muhammad wa ajjil farajahum.Dalam bahagian pertama, saya telah menerangkan secara umum konsep Imamah dalam Islam. Dalam bahagian kedua pula, saya membahaskan tentang Ahlulbait sebagai khalifah umat Islam. Dalam bahagian keempat, telah diterangkan pula siapa Khalifah Rasyidin dan 12 Imam. Setelah mengikuti turutan ini, maka kini menjadi lebih mudah kepada saya untuk membahaskan tentang ke khalifahan Imam Ali(as), berdasarkan bukti-bukti dari Al Quran dan Hadis.
Bertepatan pula dengan bulan ini, yang merupakan bulan yang terdapat di dalamnya eidul Ghadir, maka eloklah juga saya menerangkan tentang ke khalifahan Imam Ali. Rasulullah(sawa) bersabda:
“Aku adalah penghulu bagi para Nabi dan Ali ibn Abi Talib adalah penghulu bagi penggantiku, dan selepas daripada aku, penggantiku adalah 12, yang pertama merupakan Ali ibn Abi Talib dan yang terakhir merupakan Al Mahdi.“Kita mengetahui bahawa Rasulullah(sawa) telah pun menyebutkan Ali sebagai khalifah beliau yang pertama, dan sebagai pemegang jawatan yang sangat penting ini, mestilah turun hint atau wahyu dari Allah swt, berkenaan dengannya. Oleh itu, saya akan membahaskan perkara ini dengan membawa dalil dan Nas dari Al Quran serta kata-kata Rasulullah(sawa) berkenaan perkara ini, semoga boleh membuka pandangan kita, InsyaAllah.
Bukti Imamah Imam Ali dari Al Quran.
Ayat al Inzar
Allah swt berfirman:
“Dan berilah peringatan(wahai Muhammad) kepada keluarmu yang terdekat.”(Al Syura:124)Setelah turunnya ayat Inzar ini, baginda menjemput lebih kurang 40 orang keluarganya untuk berkumpul di rumah Abu Thalib. Di antara yang hadir ialah bapa saudaranya, iaitu Hamzah, Abbas dan Abu Lahab. Setelah selesai menjamu mereka dengan jamuan yang besar, baginda terus bersabda:
“Wahai Bani Abdul Muthalib. Sesungguhnya aku-demi Allah- tidak mengetahui wujudnya pemuda Arab yang membawa kepada kaumnya, sesuatu yang lebih baik dari apa yang aku bawakan kepada kalian. Aku membawakan suatu kebaikan di dunia dan akhirat. Dan Allah memerintahkan kepada ku untuk menyeru kalian kepadanya. Dengan ini siapakah di antara kalian yang mahu membantuku dalam perkara(penyebaran Islam) ini agar ia menjadi saudaraku, wasiat penggantiku dan khalifahku di antara kalian?”Mendengar ucapan beliau, orang ramai terus mendiamkan diri lalu Ali bangun dan berkata:
“Aku wahai Nabi Allah yang akan menjadi pembantu mu”. Perkara ini berulang sebanyak 3 kali dan akhirnya Nabi memegang lutut Ali sambil bersabda:
“Sesungguhnya inilah saudaraku, wasiku dan khalifah di antara kamu. Dari itu dengar dan taatlah kepadanya.”Setelah itu orang ramai bangun beredar sambil ketaw dan berkata kepada Abu Thalib: “Muhammad memerintahkan kamu mentaati anak kamu.”
Ini adalah perlantikan pertama oleh Rasulullah(sawa) di hadapan ahli keluarga rapat baginda. Antara yang meriwayatkan riwayat ini ialah:
- Tafsir Thabari
- Ad Dhurr al Mansur
- Tafsir Ibnu Katsir
- Tafsir al Khazin
- Tafsir Munir
- Syahidul Tanzil
- Tarikh Thabari
- Musnad Ahmad
- Kifayatuth Thalib
- Tazkiratul Khawas
- Yanabi al Mawaddah
- Kanz al Ummal
“Jika anda membuat perbandingan yang teliti tentang riwayat ini, maka anda akan mendapati bahawa Thabari telah membuang teks akhir riwayat ini dalam kitab tafsirnya: Jilid 11 hal 122 ketika mentafsirkan ayat tersebut, meskipun beliau sendiri meriwawatkan teks yang lengkap di dalam tarikhnya Jilid 2 hal 319-321. Cetakan Darul Turasi Arabi. Teks yang dibuang ialah sabda baginda..”Siapakah di antara kamu yang mahu membantuku dalam perkara ini(menyebarkan Islam) agar ia menjadi saudaraku, begitu dan begini….”Malangnya, bagaimana mereka dapat menandingi kehendak Allah? Kebenaran pasti tidak akan dapat ditutupi, dan syukur, hujah kami sentiasa boleh dicari dari buku-buku AhlusSunnah.
“Teks ini sengaja dibuang kerana mungkin konteksnya yang tidak seiringan dengan fahaman peribadinya tentang isu pengganti. Inilah sebabnya mereka banyak menolak teks-teks yang sahih kerana dikhuatiri golongan Syiah akan menggunakannya sebagai hujah. Dari itu mereka menyembunyikan kebenaran dalam keadaan mereka mengetahuinya. Bahkan adat penyelewengan ini terus diikuti oleh Ibnu Katsir menerusi kitab Tarikhnya, Al Bidayah wal Nihayah: Jilid 3 hal 50-53, cetakan darul kutub ilmiyah, begitu juga di dalam tafsirnya: Jilid 3/350-353. Sila rujuk kembali sebagai kepastian anda. Apakah yang mereka cuba sembunyikan? Kepastian atau kebatilan?”(Meniti Titian Kebenaran, ms 123)
Ayat al Wilayah
Mari kita membuka minda kita untuk ayat wilayah Imam Ali(as) yang seterusnya, yang sangat terkenal, dengan nama ayat Al Wilayah.
Sesungguhnya pemimpin-pemimpin kamu ialah Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman iaitu yang mendirikan solat dan menunaikan zakat ketika mereka sedang ruku’.Dan barangsiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai pemimpinnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itu yang menang.”Al Quran(5:55-56)Allah swt dalam firmannya telah menyebutkan bahawa pemimpin-pemimpin kita ialah Allah swt, Rasulnya(sawa) dan orang-orang beriman yang memberikan zakat ketika sedang rukuk. Maka siapakan orang beriman yang membayar zakat ketika rukuk ini? Kita mendapati ada beberapa riwayat yang menjelaskan peristiwa ini.
Ibnu Katsir mengeluarkan riwayat dari Ibnu Mardawaih dari Ibnu Abbas berkata: Rasulullah(sawa) menuju ke masjid dan ketika itu orang ramai sedang solat(solat sunat). Ada yang sedang rukuk, sujud, berdiri dan duduk. Tiba-tiba masuk seorang miskin meminta-minta, maka baginda bertanya kepadanya: “Ada sesiapa memberi kamu apa-apa?” Dia menjawab: “Ada.” Baginda bertanya lagi:” Siapa gerangannya?” Beliau menjawab: “Lelaki yang sedang berdiri itu.” Baginda bertanya kembali: “Dalam keadaan bagaimana beliau memberi kepada mu?” Lantas beliau menjawab: “Dalam keadaan rukuk.” Baginda menjawab: “Itu adalah Ali Ibn Abi Thalib.”Ibnu Katsir mengatakan bahawa sanad ini tiada sebarang celaan.
Ibnu Abbas berkata: “Maka bertakbirlah Rasulullah(sawa) lantas membaca “Dan barangsiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai pemimpinnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itu yang menang.”
Selain Ibnu Katsir, Abu Ishaq At Thalabi menerusi tafsirnya al Kabir dan al Huskani al Hanafi dalam Syawahidul Tanzil. Keduanya telah menyebut dari sanad yang sama iaitu Abu Dzar al Ghifari berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah(sawa) bersabda dengan kedua telinga ku ini. Jika tidak benar, maka biarlah keduanya menjadi tuli. Dan aku juga melihatnya dengan kedua mataku. Jika tidak benar maka biarlah keduanya menjadi buta. Sesungguhnya Rasulullah(sawa) bersabda: “Ali ialah pemimpin orang-orang yang baik dan pembunuh orang-orang yang kafir. Sesiapa yang membantunya pasti akan dibantu, dan sesiapa yang mensia-siakannya pasti akan terabai.”At Thabrani meriwayatkan dari Ammar Bin Yassir(ra) berkata: Seorang peminta sedekah berdiri di sisi Imam Ali yang ketika itu sedang rukuk. Maka beliau menanggalkan cincin dari jarinya dan diberikan kepada pengemis itu. Setelah Rasulullah(sawa) tiba, aku mengkhabarkan hal tersebut kepada baginda, lalu turunlah ayat…(wilayah). Setelah Rasulullah(sawa) habis membacanya, baginda bersabda:
Sesungguhnya pada suatu hari aku pergi bersolat bersama baginda(sawa). Tiba-tiba datang seorang pengemis meminta-minta di dalam masjid dan tiada seorang pun yang memberikannya sesuatu. Sementara Ali sedang rukuk ketika itu menghulurkan tangannya yang tersarung cincin di jari manisnya kepada si pengemis itu lalu ia datang dan mengambil cincin tersebut dari jari beliau. Setelah itu baginda Rasul(sawa) yang bermaksud:
Ya Allah, sesungguhnya saudaraku Musa bermohon kepada Mu: “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusan ku dan lepaskanlah kekeluan lidahku agar mereka faham perkataan ku. Jadikanlah untuk ku seorang pembantu dari keluargaku iaitu Harun saudaraku. Dengannya teguhkanlah kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku, supaya kami banyak bertasbih kepada Mu dan banyak berzikir kepada Mu. Sesungguhnya Engkau maha Melihat keadaan kami.” Lalu engkau wahyukan kepadanya, ” Sesungguhnya telah diperkenankan permintaan mu itu wahai Musa.”(Dirakam di dalam Quran surah Thaha:29)
Setelah itu baginda bersabda, “Ya Allah, sesungguhnya aku ini hambaMu dan Nabi Mu. Lapangkanlah dadaku, dan permudahkanlah urusan ku, dan jadikanlah untuk ku pembantu dari keluarga ku iaitu Ali saudaraku. Teguhkanlah aku dengannya.”
Abu Dzar berkata: “Demi Allah, belumpun sempat baginda menghabiskan doanya, tiba-tiba Jibril turun membawa ayat…(Wilayah).
“Barangsiapa yang menjadikan aku sebagai pemimpinnya, maka Ali juga ialah pemimpinnya. Ya Allah, kasihilah sesiapa yang mengasihinya, dan musuhilah siapa yang memusuhinya.”Rujukan: Majma’ uz Zawaid
Ulama Sunni yang menyatakan bahawa ayat ini turun akibat Imam Ali(as) berzakat ketika rukuk:
- Tafsir al Kasysyaf
- Tafsir Ibnu Katsir
- Tafsir Ath Thabari
- Tafsir al Qurthubi
- Ad Dhurr al Mantsur
- Tafsir Fakhrul Razi
- Tafsir an Nasafi
- Tafsir Ibnu Jauzi
Ayat al Balagh
Mari kita perhatikan ayat seterusnya. Firman Allah swt:
“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika kamu tidak kerjakan(apa yang diperintahkan itu bererti) kamu tidak menyampaikan dengan sempurna risalahNya. Dan Allah akan sentiasa memelihara kamu dari ganguan manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk bagi orang-orang yang kafir(menentang). Al Quran(5:67)Para ulama tafsir telah bersepakat mengatakan bahawa ayat di atas diturunkan ketika peristiwa Ghadir Khum, yang mana salah satu dari peristiwa penting perlantikan Imam Ali sebagai khalifah. Peristiwa ini akan saya akan nukilkan nanti. Antara para ulama yang berpendapat sedemikian ialah:
- Ad Dhurr al Mantsur, Suyuthi
- Fathul Qadir, Syawkani
- Tafsir Mafatihul Ghaib, Fakhrur Razi
- Asbabun Nuzul, Al Wahidi
- Yanabi al Mawaddah, Qanduzi al Hanafi
- Al Milal wan Nihal, Syahrastani
- Faraidus Simthain, Hamwini
- Tarikh Dimasyq, Ibnu Asakir
- Syawahidut Tanzil, Huskani
Dari Ayat di atas juga memberi sedikit gambaran bahawa Nabi(sawa) risau akan penentangan umatnya terhadap calon pilihan Allah swt ini, lalu Allah swt menenangkan baginda dengan memberi jaminan keselamatan dari gangguan manusia. Sekali lagi menunjukkan, adanya para “sahabat” yang selalu menentang perintah Nabi dan menyakiti baginda.
Ayat al Ikmal
Ayat ini juga turun berkaitan dengan peristiwa Ghadir Khum, yang diturunkan Allah swt sejurus selepas Nabi(sawa) berjaya menyampaikan perlantikan Imam Ali sebagai khalifah. Allah swt berfirman:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah aku sempurnakan untuk kamu nikmat Ku, dan telah Aku redha Islam itu menjadi agama bagi kamu.”Nas yang menyatakan ayat ini diturunkan selepas perlantikan Imam Ali sangatlah kuat. Di antaranya ialah yang diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dan Ibnu Asakir bersumber dari Abu Said Al Khudri yang berkata: Ayat…(al Ikmal) diturunkan kepada Rasulullah(sawa) pada suatu hari di Ghadir Khum setelah baginda bersabda:
“Sesiapa yang menjadikan aku ini pemimpinnya maka Ali(as) adalah pemimpinnya.”Di riwayatkan juga oleh Al Khatib al Baghdadi dari Abu Hurairah berkata: Bukankah aku ini pemimpin orang-orang mukmin? Orang ramai menjawab : “Benar wahai Rasulullah”. Lantas baginda meneruskan: “Sesiapa yang menjadikan aku ini pemimpinnya maka Ali(as) adalah pemimpinnya.” Lalu berkatalah Umar: “Tahniah wahai anak Abu Thalib. Kamu menjadi pemimpinku dan pemimpin seluruh Muslim.” Setelah itu, turunlah ayat al Ikmal.
Untuk petikan di atas sila rujuk:
- Tarikh Dimashyq
- Manaqib Ali
- Tarikh Bagdadi
- Syawahidul Tanzil
- Faraidus Simthain
- Ad Dhurr al Mansur, Tafsir Ibnu Katsir, Ruhul Ma’ani:tafsiran ayat berkenaan.
- Al Itqan: Suyuthi:1/31
- Tarikh Dimasyq: Ibnu Asakir asy Syafie
- Manaqib Ali: Ibnu al Maghazil
- Tarikh Baghdad: Khatib al Baghdadi
- al Manaqib: Khawarizmi al Hanafi
- Tazkiratul Khawas: Sibt Ibnu Jauzi
- Al Bidayah wal Nihayah: Ibnu Katsir
- Yanabi al Mawaddah; Qaduzi al Hanafi
Jika bukan kerana saya mahukan artikel ini pendek, saya akan letakkan bersama hujah balas mereka berkaitan hal ini, dan jawapan bagi hujah balas mereka itu. Oleh itu InsyaAllah, saya akan postkan jika ada geng-geng nasibi yang mengemukakan hujah balas itu pada saya.
Wassalam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar