Minggu, 03 April 2011

Imamah Bhg 6: Wilayah Imam Ali(as) dari Hadis




man kunto mola fahaza ali moula
Salam alaikum. Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa aali Muhammad.
InsyaAllah, dalam bahagian ini, akan saya bahaskan tentang dalil-dalil wilayah Imam Ali(as) bersumberkan hadis dari pihak Ahlul Sunnah wal jamaah.
Hadis Ghadir Khum
1. An Nasai meriwayatkan dari Abu Thufail dari Zaid bin Arqam berkata: Ketika Nabi pulang dari Haji wada’ dan singgah di Ghadir Khum, baginda menyuruh para sahabatnya bernaung di bawah pohon-pohon. Setelah itu baginda berkhutbah:
“Sudah hampir masanya aku dipanggil Allah dan aku mesti pulang menghadapnya. Sesungguhnya aku tinggalkan buat kamu 2 perkara yang amat berharga(Tsaqalain) yang satu lebih berat dari yang lainnya, iaitu Kitab Allah dan keluarga ku iaitu Ahlulbaitku. Oleh itu perhatikanlah bagaimana sikap kamu terhadap keduanya, kerana sesungguhnya keduanya tidak akan terpisah sehingga menemui ku di Al Haudh.”
Kemudian baginda bersabda lagi:
“Sesungguhnya Allah ialah maulaku, dan aku ialah maula setiap mukmin.”
Lalu baginda mengangkat tangan Ali lalu bersabda:
Siapa yang menjadikan aku sebagai pemimpinnya, maka inilah Ali sebagai pemimpinnya. Ya Allah, pimpinlah orang yang menjadikannya sebagai pemimpin, dan musuhilah orang yang memusuhinya.”
Abu Thufail bertanya kepada Zaid: Apakah kamu benar mendengarnya dari Rasulullah(sawa)? Zaid menjawab: Sesungguhnya tidak ada seorang pun di bawah pohon-pohon itu yang tidak melihat dengan kedua matanya dan mendengar dengan kedua telinga mereka.
Sumber: Khasaish Imam Ali, An Nasai, bil 79
2. Ibnu Majah meriwayatkan dari Al Bara’ bin Azib berkata: Kami pergi Haji bersama Rasulullah(sawa) dan kami singgah di persimpangan jalan. Setelah baginda bersolat bersama, lantas baginda mengangkat tangan Ali dan bersabda:
Bukankah aku ini lebih utama dari diri orang-orang mukmin itu sendiri? Mereka menjawab: Benar Ya Rasulullah(sawa)! Rasulullah bersabda: Maka ini Ali adalah pemimpin bagi mereka yang menjadikan aku sebagai pemimpinnya. Ya Allah pimpinlah orang yang menjadikannya sebagai pemimpin dan musuhilah orang-orang yang memusuhinya.”
Sumber: Sunan Ibnu Majah, Hadis 116
3. Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dari Zaid bin Arqam berkata: Kami singgah di suatu lembah yang bernama Khum. Baginda memerintahkan supaya mendirikan solat dan kami melaksanakannya di bawah sinaran terik matahari. Setelah itu baginda berkhutbah sementara Samurah memayungi baginda dengan sehelai baju yang digantung di atas dahan dari sinaran matahari. Lalu baginda bersabda:
“Bukankah kalian tahu/bersaksi bahawa aku ini lebih utama dari setiap diri orang mukmin itu sendiri? Mereka menjawab: Benar! Baginda bersabda lagi: Dari itu siapa yang menjadikan aku sebagai pemimpinnya, maka Ali ialah pemimpinnya. Ya Allah, pimpinlah orang yang menjadikannya sebagai pemimpin dan musuhilah orang yang memusuhinya.”
Sumber: Musnad Ahmad 4/327 dan Majma uz Zawaid 9/107
4. Ahmad bin Hanbal meriwayatkan lagi dari al Bara’ bin Azib, menerusi 2 rantaian sanad berkata; Kami bersama Rasulullah lalu singgah di Ghadir Khum. Kemudian seorang sahabat membersihkan kawasan agar Nabi boleh menunaikan solat Zohor di bawah antara 2 pokok. Setelah itu baginda mengangkat tangan Ali dan bersabda:
“Bukankah kamu mengetahui bahawa aku ini lebih utama dari setiap diri mukmin itu sendiri? Mereka menjawab: Benar! Baginda bertanya lagi: Soalan yang sama, lalu di jawab juga sama. Lalu baginda mengambil tangan Ali  dan bersabda: Dari itu siapa yang menjadikan aku sebagai pemimpinnya, maka Ali adalah pemimpinnya. Ya Allah pimpinlah orang yang menjadikannya sebagai pemimpin, dan musuhilah orang yang memusuhinya.”
Setelah itu Umar datang menemui Ali dan berkata: “Tahniah wahai putera Abu Thalib. Anda telah menjadi pemimpin setiap mukmin dan mukminah.”
Sumber: Musnad Ahmad 4/281, Kanzul Ummal, 15/117 dan Fadhail al Khamsah 1/350
5. Ath Thabrani meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Zaid bin Arqam dan Huzaifah bin Usaid al Ghifarri berkata: Rasulullah telah berkhutbah di Ghadir Khum di bawah pohon-pohon dengan sabdanya:
“Wahai sekalian manusia! Aku hampir di panggil Allah dan aku akan menyahutnya. Sesungguhnya aku dan kalian akan ditanya, maka apakah yang akan kalian jawab?
Mereka berkata: Kami bersaksi bahawa kamu telah berjuang dan kamu telah memberi nasihat, semoga Allah membalas mu dengan kebaikan.
Rasul meneruskan sabdanya: “Tidak kalian bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad ini ialah hamba dan Rasulnya, bahawa syurga itu benar, neraka itu benar, kematian itu benar, hari kebangkitan sesudah mati itu benar, kiamat itu pasti terjadi tanpa ragu-ragu, dan bahawa Allah akan membangkitkan orang-orang di dalam kubur?
Semua menjawab: Benar! Kami bersaksi dengan semua itu. Lalu baginda berdoa: Ya Allah, saksikanlah.
Kemudian baginda menyambung lagi:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah adalah pemimpin ku, dan aku ialah pemimpin kaum mukmin dan lebih utama dari diri mereka sendiri. Barangsiapa yang menjadikan aku pemimpinnya maka ini Ali juga ialah pemimpinnya. Ya Allah, pimpinlah orang yang menjadikannya sebagai pemimpin dan musuhilah orang yang memusuhinya.”
Seterusnya baginda bersabda lagi:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku akan mendahului kalian dan kalian akan dibawakan kepada ku di al Haudh, al Haudh luasnya terbentang dari Basrah ke Sanaa, padanya bilangan bintang-bintang indah dan perak. Sesungguhnya aku akan bertanya kepada kalian tentang 2 perkara berharga(Tsaqalain) ketika kalian dibawakan kepada ku di al Haudh, bagaimana kalian melayani keduanya sepeninggalanku.
Perkara yang paling berharga ialah Kitab Allah yang hujungnya ada di tangan Allah, dan hujungnya lagi ada di tangan-tangan kalian. Maka berpeganglah kepadanya maka kalian tidak akan sesat dan menyeleweng. Dan keluargaku iaitu ahlulbaitku. Sesungguhnya Allah telah memberitahu kepada ku bahawa keduanya tidak akan terpisah hingga keduanya kembali kepadaku di al Haudh.
Sumber: Al Sawaiqul Muhriqah: Hal 25
Ada beberapa lagi hadis yang berkaitan, tetapi saya tidak bercadang untuk memuatkan semuanya dalam artikel ini. Walaubagaimanapun, hadis al Ghadir yang telah saya tunjukkan disini telah mencapai status Sahih lagi mutawattir yang tidak dapat di sangkal lagi kedudukannya. Malah semuanya yang saya tunjukkan di sini adalah bersumber dari kitab-kitab Sunni, yang mana untuk kesahihannya, kalian boleh semak sendiri dengan merujuk kepada kitab-kitab yang berkaitan. Jadi bagaimana pula ada sesetengah orang jahil yang boleh membuat tuduhan bahawa peristiwa Ghadir Khum ini ialah satu rekaan orang-orang Syiah? Maha Suci Allah yang akan sentiasa membuatkan kebenaran itu Nampak walaupun orang-orang zalim sentiasa cuba menutupinya.
Sungguh menyedihkan apabila ramai umat Islam(Sunni) sendiri tidak mengetahui akan peristiwa ini, kerana usaha terus menerus orang-orang zalim ini untuk tidak membincangkan peristiwa ini. Sudah tentu ini kerana mereka tahu bahawa hujah mereka adalah sangat lemah jika ingin dibandingkan dengan hujah kami Syiah kepada Ahlulbait(as).
Antara usaha sia-sia mereka untuk mendhaifkan hadis ini sebagai hadis perlantikan Imam Ali(as) ialah dengan percubaan mereka untuk menakwilkan perkataan “maula” atau perkataan “wali”. Sudah tentu saya akan membahaskannya di artikel lain, kerana saya hanya ingin memuatkan segala dalil berkaitan Imamh Imam Ali di sini. Itu sahaja pun dah cukup panjang.
Hadis Manzilah
Hadis ini adalah salah satu lagu hadis yang menunjukkan dalil Imamah Ali(as). Manzilah bermaksud kedudukan di dalam bahasa melayu. Sabda Rasulullah(sawa):
“Kedudukan Ali di sisiku umpama kedudukan Harun di sisi Musa(as) melainkan tiada lagi Nabi sesudahku.”
Hadis Sahih ini diriwayatkan oleh ramai para ulama silam Sunni, antaranya:
  1. Sahih Bukhari
  2. Sahih Muslim
  3. Sahih Tarmizi
  4. Sunan Ibnu Majah
  5. Khasais Ali: Nasai
  6. Sunan Ibnu Hibban
  7. Mustadrak al Hakim
  8. Musnad Abu Ya’la
  9. Tarikh al Khulafa’
  10. Hilayatul Awliya’
  11. Sunan al Bazzar
  12. Musnad Humaidi
  13. Tarikh Thabari
  14. Mu’jam as Saghir
  15. Tazkiratul Huffaz
  16. Musnad Ahmad
  17. Kanz al Ummal
Dengan kata lain, Nabi Muhammad(sawa) mengatakan bahawa, kedudukan Imam Ali di sisi baginda, ialah sebagai mana kedudukan Nabi Harun di sisi Nabi Musa. Maka segala yang dimiliki Harun juga dimiliki oleh Imam Ali(as). Seperti yang diceritakan kepada kita dari Al Quran tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Harun, adalah diketahui bahawa Nabi Harun memiliki kuasa dan dilantik sebagai wazir dan pembantu Nabi Musa, begitulah juga halnya dengan Imam Ali(as), kecuali kenabian.
Dalam artikel lepas, ketika membincangkan ayat al Wilayah, saya ada bawakan hadis berikut:
Abu Ishaq At Thalabi menerusi tafsirnya al Kabir dan al Huskani al Hanafi dalam Syawahidul Tanzil. Keduanya telah menyebut dari sanad yang sama iaitu Abu Dzar al Ghifari berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah(sawa) bersabda dengan kedua telinga ku ini. Jika tidak benar, maka biarlah keduanya menjadi tuli. Dan aku juga melihatnya dengan kedua mataku. Jika tidak benar maka biarlah keduanya menjadi buta. Sesungguhnya Rasulullah(sawa) bersabda: “Ali ialah pemimpin orang-orang yang baik dan pembunuh orang-orang yang kafir. Sesiapa yang membantunya pasti akan dibantu, dan sesiapa yang mensia-siakannya pasti akan terabai.”
Sesungguhnya pada suatu hari aku pergi bersolat bersama baginda(sawa). Tiba-tiba datang seorang pengemis meminta-minta di dalam masjid dan tiada seorang pun yang memberikannya sesuatu. Sementara Ali sedang rukuk ketika itu menghulurkan tangannya yang  tersarung cincin di jari manisnya kepada si pengemis itu lalu ia datang dan mengambil cincin tersebut dari jari beliau. Setelah itu baginda Rasul(sawa) yang bermaksud:
Ya Allah, sesungguhnya saudaraku Musa bermohon kepada Mu: “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusan ku dan lepaskanlah kekeluan lidahku agar mereka faham perkataan ku. Jadikanlah untuk ku seorang pembantu dari keluargaku iaitu Harun saudaraku. Dengannya teguhkanlah kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku, supaya kami banyak bertasbih kepada Mu dan banyak berzikir kepada Mu. Sesungguhnya Engkau maha Melihat keadaan kami.” Lalu engkau wahyukan kepadanya, ” Sesungguhnya telah diperkenankan permintaan mu itu wahai Musa.”(Dirakam di dalam Quran surah Thaha:29)
Setelah itu baginda bersabda, “Ya Allah, sesungguhnya aku ini hambaMu dan Nabi Mu. Lapangkanlah dadaku, dan permudahkanlah urusan ku, dan jadikanlah untuk ku pembantu dari keluarga ku iaitu Ali saudaraku. Teguhkanlah aku dengannya.”
Abu Dzar berkata: “Demi Allah, belumpun sempat baginda menghabiskan doanya, tiba-tiba Jibril turun membawa ayat…(Wilayah).
Di ceritakan di dalam Quran, Nabi Musa memohon kepada Allah akan dikurniakan pembantu dalam segala urusan beliau, dan memohon agar Harun ialah orangnya. Sebagaimana Nabi Musa, Rasulullah juga memohon agar dikurniakan perkara yang sama, dengan Imam Ali(as) menjadi pembantu baginda, sama seperti kes Nabi Musa(as). Dan permohonan mereka dikabulkan. Firman Allah:
“Sesungguhnya telah kami berikan kitab taurat kepada Musa dan kami adakan Harun sebagai wazirnya.” Al Quran (25:35)
Sebagaimana Nabi Harun menjadi pengganti Nabi Musa sepeninggalan beliau ke Bukit Thursina, maka seperti itu jugalah kedudukan Ali sebagai pengganti baginda dalam segala hal kepimpinan umat kecuali kenabian. Semasa ketiadaannya, Nabi Musa tidak meninggalkan umatnya terkapai-kapai tanpa petunjuk dan pemimpin, maka kita dapat melihat perkara yang serupa iaitu Rasulullah juga melantik Imam Ali sebagai khalifah agar umatnya tidak tersesat arah.
“Dan berkata Musa kepada saudaranya Harun: engkau menggantikan tempatku menjaga kaumku…” Al Quran(7:142)
Kalau kita perhatikan ayat di atas, perkataan “ukhlufi”(menggantikan) digunakan, dan perkataan ini mempunyai kata dasar yang sama dengan “khalifah”(pengganti). Menarik. Jika kita mahu melihat gambaran sebenar, gantikan sahaja ayat-ayat Al Quran yang mengandungi nama Musa dan Harun kepada Muhammad dan Ali. Dengan itu kita mengetahui bahawa dengan jelas, Imam Ali ialah khalifah sepeninggalan baginda.
Perlu juga diungkapkan di sini, bahawa hadis al Manzilah diucapkan secara berulang oleh Rasulullah(sawa) lebih dari satu kali. Ini kerana terdapat beberapa golongan Nasibi yang mengeluarkan hujah bahawa hadis ini hanya terpakai dalam konteks keberangkatan baginda(sawa) ke Perang Tabuk, maka ia bersifat sementara. InsyaAllah saya akan kemukakan nanti.
Hadis Kelayakan Menyampaikan Mesej Islam
Rasulullah telah bersabda:
“Ali adalah sebahagian dari diriku, dan aku ialah sebahagian dari dirinya. Tidak sepatutnya menyampaikan dari ku(mesej dakwah) melainkan aku atau Ali.”
Sila rujuk:
  • Sahih Tarmizi
  • Khasais Ali:Nasai
  • Sunan Ibnu Majah
  • Tuhfatul Asyraf
  • Sawaiqul Muhriqah
  • Sunan Ad Darimi
Menerusi hadis ini jelas membuktikan bahawa tiada yang selayaknya menyampaikan mesej dakwah Islam melainkan dari Rasulullah(sawa) sendiri atau Imam Ali(as). Ini juga menunjukkan kedudukan Imam Ali sebagai penerus mesej dakwah setelah ketiadaan baginda. Hadis ini juga sealiran dengan Ayat al Mubahalah, yang menunjukkan bahawa Rasulullah dan Imam Ali dianggap satu.
Hadis-hadis lain:
1. Rasulullah(sawa) bersabda: “Sesungguhnya Ali ialah sebahagian dari ku, dan aku sebahagian darinya. Dan dia ialah pemimpin bagi setiap mukmin sepeninggalan ku.”
  • Khasais Ali: Nasai
  • Sahih Tarmizi
  • Sunan Ibnu Hibban
  • Mustadrak Al Hakim
  • Musnad Imam Ahmad
  • Kanz Al Ummal
  • Yanabi al Mawaddah
2. Muttaqi al Hindi mengeluarkan riwayat dari dari Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Jarir serta mensahihkannya dari Ibnu Abbas dari Rasulullah(sawa) bersabda kepada Imam Ali(as): “Kamu adalah pemimpin seluruh mukmin sepeninggalanku.”
  • Kanz al Ummal
  • Musnad Imam Ahmad
  • Tarikh Dimasyq
3. Diriwayatkan dari Buraidah dari Rasulullah sawa bersabda: “Jangan sesekali kamu berkomplot menentang Ali kerana sesungguhnya dia adalah sebahagian dari diriku dan aku sebahagian dari dirinya. Dia adalah pemimpin kamu setelah pemergianku.” Baginda mengulangnya sebanyak 3 kali.
  • Majma uz Zawaid
  • Tarikh Dimasyq
  • Syarh Nahjul Balaghah
4. Dikeluarkan oleh Abu Nuaim al Hafiz di dalam Hilayatul Auliya’ dari Anas bin Malik. Rasulullah(sawa) bersabda: “Wahai Anas, orang pertama yang akan melalui pintu ini(pintu rumah Rasulullah) adalah penghulu orang-orang bertaqwa, ketua Muslimin dan pemimpin agama dan penutup para wasi dan ketua orang-orang yang akan dihiasi di syurga kelak.”
Anas berkata: “Tiba-tiba Ali datang, lantas baginda bangun dengan gembira menuju kepada beliau lalu memeluknya dan bersabda:
“Kamu akan melaksanakan tanggungjawab menyambung risalahku, dan mendengarkan kepada mereka suaraku, juga menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan selepasku.”
  • Hilayatul Awliya
  • al Manaqib
  • Tarikh Dimasyq
Alhamdulillah, akhirnya, selesai juga saya menulis sedikit sebanyak dalil perlantikan Amirul Mukminin Ali Ibn Abi Thalib sebagai khalifah sepeninggalan Nabi(sawa). Bagi para pemikir sekalian, tentu kini anda sepatutnya boleh mencantumkan sedikit sebanyak ”puzzle”, dari cebisan-cebisan kecil kini menjadi gambar yang sempurna.
Seperti biasa, setiap hujah yang saya kemukakan di sini pasti ada bangkangan dari pihak penentang. InsyaAllah saya akan bahaskan satu per satu tentang isu-isu berkaitan, di waktu lain. Biarlah saya tutup siri Imamah ini dengan beberapa kesimpulan dari bahagian pertama sehinggalah bahagian keenam ini.
  1. Imam ialah satu kedudukan lantikan Allah swt sebagai pemimpin untuk sesuatu umat.
  2. Seorang Nabi dan Rasul juga boleh diangkat menjadi seorang Imam, tetapi seorang Imam tidak semestinya dari kalangan Nabi dan Rasul.
  3. Imam memikul segala tugas yang dipikul Rasulullah(sawa) kecuali kenabian, kerana kenabian itu berakhir dengan Nabi Muhammad(sawa)
  4. Tugas Imam meliputi segala hal antaranya ialah politik,sosial,ekonomi,keilmuan, dan agama, sudah tentunya.
  5. Imam selepas Nabi adalah dari Ahlulbait(as).
  6. Imam selepas Nabi berjumlah 12 orang, bermula dari Imam Ali hingga ke Imam Mahdi.
  7. Pernyataan Ali(as) sebagai khalifah telah dinyatakan berkali-kali oleh Rasul dari awal perjuangan dakwah baginda hinggalah ke akhir hayat baginda, jadi ia bukankah satu “berita panas.”
Semoga Allah swt memberi rahmat kepada kita semua untuk bernaung di bawah wilayah Ahlulbait(as), yang menjamin keselamat bagi pengikutnya. salam alaikum.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

ISIS

Negara Islam (di) Irak dan Syam  ( Bahasa Arab : الدولة الاسلامية في العراق والشام /  al-Dawlah al-Islāmīyah fī al-ʻIrāq wa-al-Shām ,  ...