Minggu, 03 April 2011

Imamah Bhg 1- Konsep Asas

Amirul Mukminin(as)
Assalamu’alaikum. Salam dan solawat ke atas Nabi Muhammad berserta Ahlulbait baginda yang telah Allah swt sucikan dengan sesuci-suci pembersihan.
Saya kira sudah tiba masanya untuk saya memulakan penulisan sebuah artikel tentang Imamah, yang merupakan topik paling kontroversi dan merupakan titik mula perbezaan antara Sunni dan Syiah. Jika tiada konsep Imamah di dalam Syiah,maka nama Syiah akan luput ataupun hanya menjadi sebuah mazhab biasa yang tiada bezanya dengan mazhab kontemporari Sunni yang lain. Semua perbezaan di antara kita, adalah bermula dari konsep ini, dan oleh itu sepatutnya, saya mulakan blog ini dengan artikel ini.
Imamah(إمامة‎) secara bahasanya bermaksud kepimpinan. Dari sudut konsepnya, ia bermaksud satu posisi kepimpinan lantikan Allah melalui Rasulullah(sawa) untuk mewarisi baginda, dari segala jabatan yang baginda pegang(kecuali kenabian dan kerasulan), samada pimpinan politik, ketua agama, hakim, ketua tentera, kerohanian, atau pendek kata, pemimpin ummah Muhammad(sawa), untuk memimpin mereka di jalan kebenaran.
Konsep Imamah
Kami Syiah mempercayai bahawa Rasulullah (sawa) pergi meninggalkan kita dengan menyebut siapa pengganti selepas baginda. Inilah yang membezakan kami dengan kalian saudara Ahlulsunnah. Seperti yang diriwayatkan oleh sumber Sunni mahupun Syiah, kami mempercayai bahawa Rasulullah(sawa) telah melantik 12 khalifah yang akan mengganti beliau, yang bermula dengan Imam Ali(as) dan berakhir. Mereka semua mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Berasal dari Ahlulbait.
  • Maksum
  • Mempunyai ilmu yang tinggi, setaraf dengan Rasulullah, sebagai keperluan untuk seorang pengganti Rasulullah, yang akan menjadi penunjuk arah setelah pemergian baginda.
  • Mengetahui tersirat dan tersurat Al Quran, serta sumber asli untuk mendapatkan sunnah asli Rasul(sawa)
  • Kata-kata mereka dan tindak tanduk mereka merupakan role model untuk umat manusia, kerana mereka menggambarkan martabat dan maruah Rasulullah
  • Mempunyai ciri-ciri dan sifat mulia yang setanding dengan Rasulullah(sawa) kerana mereka adalah wakil Islam setelah pemergian Nabi Akram(sawa)
Kami mempercayai bahawa seorang Imam, mempunyai tugas yang berlainan dengan Nabi dan Rasul, di mana mereka mempunyai tugas sebagai perlaksana, pengembang dan penjaga kepada agama yang ditegakkan, dibawa dan diperkenalkan oleh Nabi dan Rasul. Imam, yang membawa maksud pemimpin, juga menyiratkan maksud “untuk diikuti”. Dengan sifat Maha Adil yang dimiliki Allah swt, adalah tidak mungkin Tuhan kita mengambil Nabi kita kemudian meninggalkan kita tanpa sebarang petunjuk. Dan kami Syiah mempercayai bahawa adalah mustahil Allah swt meninggalkan umat manusia tanpa akses kepada panduan ketuhanan.
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran, dan tiap-tiap umat ada pemimpin yang memimpin ke jalan yang benar.(13:7)
Maka bagi umat kita, setelah ketiadaan Nabi Muhammad(sawa), Syiah mempercayai bahawa beban sebagai wakil Allah(swt) dipikul oleh Ahlulbait Rasulullah(solawat atas mereka semua.). Harus diingatkan bahawa mereka bukanlah Nabi atau Rasul, mereka juga tidak menerima wahyu seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah musuh Syiah. Mereka tidak membawa syariat yang baru mahupun mempunyai kuasa untuk mengubah syariat sedia ada. Akan tetapi mereka ialah orang-orang yang dekat dengan Allah swt, dan menerima panduan dari Allah swt, yang mana kemudiannya mereka akan memandu umat manusia ke jalan yang benar. Mereka mengetahui maksud tersirat dan tersurat Al Quran dan sumber asli kepada Sunnah Nabi. Mereka membawa Islam yang sebenar, tanpa pertambahan dan pengurangan. Dan sebab itulah kami Syiah mengikuti mereka.
Kami mempercayai bahawa jabatan Imamah ini ialah lantikan Allah swt.
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.Quran [2:124]
Nabi Ibrahim telah pun menjawat Jabatan Nubuwwah sebelum ayat ini diturunkan. Setelah beliau telah berjaya melepasi ujian-ujian yang diberikan oleh Allah swt, beliau dilantik pula menjawat jabatan Imam, iaitu pemimpin ikutan untuk umat manusia. Dari ayat diatas juga kita mendapati, Nabi Ibrahim(as) memohon kepada Allah swt agar jabatan ini juga diberikan kepada keturunan beliau, dan Allah swt menunaikan permintaan ini, tetapi jabatan ini tidak akan diberi kepada orang-orang yang zalim, Ringkasnya:
  • Seorang Imam boleh juga dari kalangan nabi dan Rasul, dan boleh juga tidak.
  • Dari keturunan Nabi Ibrahim juga akan dikurniakan jabatan ini.
  • Sedikit sebanyak menunjukkan kemaksuman bagi penjawat jabatan ini, kerana ia tidak akan jatuh kepada orang-orang yang zalim.
  • Tidak seperti Jabatan Nubuwwah yang ditamatkan dengan wafatnya Nabi Muhammad(sawa), jabatan Imamah tidak ditamatkan dan masih berterusan sehingga hari kiamat.
Siapakah Imam-imam ini akan saya bincangkan di artikel yang lain. Tetapi sedikit sebanyak dapat kita lihat ada bezanya jawatan seorang Imam dan Nabi.
Nabi ialah seseorang yang bertanggungjawab menyebarkan undang-undang syariah yang telah diturunkan kepada seorang Rasul yang terkini. Bagaimanapun mereka juga boleh menerima syariat baru yang mana tidak wajib ke atas mereka untu diwar-warkan kepada masyarakat umum. Telah diriwayatkan Allah swt telah mengutuskan 124,000 orang Nabi kepada umat manusia. Contoh yang dapat saya beri disini ialah Nabi harun bukanlah seorang Rasul, tetapi beliau diutus sebagai pembantu dalam mewar-warkan syariat yang dibawa kepada Nabi Musa(as), yang merupakan seorang Rasul.
Rasul pula ialah seorang yang diutuskan oleh Allah swt untuk membawa syariat yang baru. Mereka juga merupakan seorang Nabi.
Imam pula ialah seorang yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan syariat yang dibawa, dan turut dipertanggungjawabkan dalam memimpin sekumpulan manusia. Boleh jadi mereka juga turut memengang jabatan Nabi dan Rasul dalam masa yang sama.
Syiah mempercayai nabi-nabi berikut turut menjawat jabata sebagai seorang Imam di dalam tempoh kenabian mereka.
  • Nabi Nuh(as)
  • Nabi Ibrahim(as)
  • Nabi Musa(as)
  • Nabi Isa(as)
  • Nabi Muhammad(sawa)
Cukuplah kiranya setakat ini saya memberikan mukadimah untuk topik besar ini.
Dalam artikel-artikel seterusnya saya akan membincangkan:
  • Ahlulbait Rasulullah(sawa) sebagai pemimpin umat
  • Perlantikan Imam Ali sebagai pengganti baginda yang pertama.
  • 12 Imam dan Khulafa Ar Rasyidin
  • Keperluan kemaksuman dalam Imamah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

ISIS

Negara Islam (di) Irak dan Syam  ( Bahasa Arab : الدولة الاسلامية في العراق والشام /  al-Dawlah al-Islāmīyah fī al-ʻIrāq wa-al-Shām ,  ...